Panduan Hari Raya Menurut Syariah
Assalamualaikum dan Salam Bahagia
….
Insya Allah, 2 hari lg kita akan
menyambut Aidilfitri, Maka mungkin kawan-kawan semua sedang sibuk bersiap sedia
untuk balik kampong, buat kuih raya, membeli belah untuk persediaan hari raya
dan macam-macam lagi. Seminggu perayaan nie tempat aku tinggal Pasir Mas, pasti
akan menjadi Kuala Lumpur untuk sementara waktu
kerana ramai perantau balik ke kampong masing2 di Kelantan(Orang Kelantan kan suka merantau), apsal jadik Kuala Lumpur??, heheheh
sebab jalan-jalan di sini akan dipenuhi dengan kenderaan dan smestinya akan
berlaku jem …. Nak pergi rumah kawan dr sblh barat Pasir Mask ke sebelah Timur
Pasir Mas pun pasti akan ambil masa lebih kurang 1 jam lebih …. X caya!!!???
Cubalah bawak kete gi jalan2 raya nanti …. Tp motorsikal … no problem … boleh
cilok punya …
Opppsss Oklahh … malas nak
berceloteh banyak2 … keje byk lg nie … ngan system programing yg aku x reti2 lg
nie nak wat, research/study programming, testing and error …. Sebenarnya aku
post kali nie utk berkongsi maklumat yg aku jumpa dlm 1 laman web yg agak
menarik jgak …. www.zaharuddin.com. Aku
tertarik dgn 1 artikel iaitu Beberapa
Panduan Di Hari Raya Menurut Syariah …Artikel tersebut adalah seperti dibawah ….
Bulan
Ramadhan, sudah hampir tiba ke penghujungnya. Bagi individu yang sedar tentang
‘tawaran’ bonus yang di tawarkan oleh Allah SWT dan RasulNya di bulan Ramadhan,
mereka sudah pasti akan merasa sedih atau amat sedih dengan pemergiannya.
Sebaliknya orang yang tidak sedar atau tidak ambil endah tentang kelebihannya
pasti bergembira dan berpesta dengan pemergian bulan hebat ini. Lebih malang lagi, pestanya
yang dianjurnya adalah jenis pesta hiburan yang sememangnya bertentangan dengan
ruh dan objektif Ramdhan. `
Secara
mudahnya, seolah-olah individu yang berpesta maksiat di Syawal ini ingin
memaklumkan berkenaan ‘peperiksaan’ Ramadhannya yang mendapat keputusan
‘gagal’. Bagaimanapun masalah pasti berterusan kerana sebahagian besar dari
mereka yang berpesta maksiat ini langsung tidak mempunyai ilmu bagi mengenal
pasti perbezaan antara maksiat dan amal soleh, dosa dan pahala. Padahal di
bulan Ramadhan yang juga digelar bulan Al-Quran, Allah SWT mengarahkan kita
merujuk Al-Quran yang fungsinya adalah sebagai Al-Furqan (Pemisah antara
yang benar dan yang salah).
Malang bagi mereka yang masih tidak mahu bernaung di bawah kefahaman Al-Quran ini
dalam mengenal dosa dan pahala sejurus selepas Ramadhan ini.
Bolehkah
Bersuka Ria di Ramadhan?
Jika
demikian, adakah Muslim di tegah bersuka ria di hari raya dan hanya bersedih sahaja ?. Jawapannya, bergembira di Syawal tidak ditegah,
malah Rasulullah SAW sendiri membenarkan umat islam bergembira di Syawal,
dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan di zahirkan dalam bentuk
yang di terima Islam. Nabi SAW juga pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq
apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang
sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya :
دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد
Ertinya :
“Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya” ( Riwayat
Al-Bukhari)
Mukmin
sebenar akan gembira kerana mengenangkan usaha berganda yang telah dilakukan di
Ramadhan, bergembira juga atas kejayaan membina ‘benteng kukuh’ dari godaan
Syaitan, bukankah Nabi SAW telah menyebut bahawa “Puasa itu benteng” (Riwayat
Al-Bukhari). Justeru, Muslim yang telah berjaya mengasaskan “benteng” di bulan
ini. Selain itu gembira juga atas berusaha habis-habisan bagi mendapatkan
keampunan Allah SWT, sudah tentu mukmin ini merasa puas dengan usahanya yang
berganda, walaupun penerimaannya adalah terpulang kepada Allah SWT semata. Ia
bertepatan dengan Hadith Nabi SAW : Ertinya “Seorang mukmin itu adalah
seorang yang apabila amalan baiknya, menyebabkan ia bergembira, dan perbuatan
buruknya menjadikannya sengsara”
Mengapa
Mukmin Soleh Bersedih ?
Mengapa pula
mukmin itu bersedih pula dengan pemergian Ramdahan?.
Secara ringkasnya, dengan berdasarkan dalil-dalil yang sohih, peluang dan
kemudahan yang diberikan Allah SWT di bulan ini yang pastinya akan dirindui dan
di tangisi oleh para mukminin dan solihin adalah :-
1) Peluang
untuk meraih ke Syurga yang terbuka luas di dalamnya, berdasarkan hadith yang
menyebut tentang pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan Syaitan di
belenggu. Lalu mukmin sentiasa bimbang akan penerimaan
Allah SWT terhadap diri dan amalannya.
2) Tawaran
pengampunan dosa-dosa silam bagi yang berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan
solat terawih ikhlas kerana Allah. Berdasarkan hadith Bukhari dan Muslim. Tamat
jua peruntukan hebat ini di akhir Ramadhan.
3) Kemaqbulan
doa yang hebat ketika berpuasa dan berbuka berdasarkan
hadith Riwayat Ibn Majah yang sohih. Berlalulah tawaran ini dengan pemergian
Ramadhan.
4) Peluang
mempertingkat taqwa, iman dan menambah keberkatan dalam hidup dunia dan
akhirat. Ia berdasarkan firman Allah SWT.
5) Peluang
terbesar di Malam al-Qadar yang amat istimewa. (Rujuk artikel lepas di www.zaharuddin.com)
Hasil dari
sebab inilah, kita dapati ramai ulama silam di sifatkan amat sedih dengan
pemergian Ramadhan, terutamanya apabila memikirkan samada akan dapat bertemu
lagi pelaung sehebat Ramadhan di tahun hadapan.
Tamatnya
Siri Yang Amat Diminati
Bagi sesiapa
yang ingin memahaminya dengan lebih lagi.
Cuba anda bayangkan anda meminati
sebuah rancangan drama di televisyen yang disiarkan tepat jam 5-6 petang.
Rancangan yang tiada ulangan ini pula sudah anda ikuti siri-sirinya sejak sekian
lama, tiba-tiba dengan sebab jem yang teruk di jalanan, anda terlepas dari
menyaksikannya. Anda juga tidak pasti bagaimana atau samada anda boleh
mendapatkan rancangan ulangannya. Demikian juga anda pasti merasakan sedih
kerana rancangan kegemaran anda sudah hampir berakhir. Sedangkan anda masih
belum puas menontonnya dan menikmatinya.
Demikianlah
para mukmin soleh dengan Ramadhan, tamatnya siri hebat ramadhan ini amat
memilukan bagi mereka yang hatinya bersinar dengan cahaya iman.
Ringkasan
Amalan Di Hari Raya
Di hari mulia
Syawal ini pula, umat Islam adalah amat digalakkan untuk :-
1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar
menunaikan solat sunat idil fitri . Ulama besar Tabien
Said Bin Jubayr berkata : “Tiga perkara sunnah di hari
raya iaitu anataranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya”.
2) Menjamah makanan sebelum keluar. Ia
berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : “Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil
fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma…”
3) Memperbanyakkan Takbir ; Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan
aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah
penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan.
Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul
Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah
imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.
4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara
satu sama lain ; Tiada
masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang
sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah
“Taqabbalahhu minna wa minkum” ertinya : Semoga Allah
menerima amalan ( amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu”.
5) Memakai pakaian terbaik yang ada ; Bagaimanapun, perlulah
mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan. Demikian juga, tidak
dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal
(kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam
Islam).
6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ; Ia berdasarkan
hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau
berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya” (Riwayat Al-Bukhari)
7) Berziarah dan
merapatkan silaturahmi sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.
Isu Duit
Raya
Adapun
memberikan duit raya kepada kanak-kanak terdapat pro dan kontranya. Yang
baiknya adalah ia dapat memupuk semangat dan sifat menderma sebagai hasil
kebaikan yang diperolehi dari Ramadhan. Malah, sebenarnya ia lebih baik jika di berikan sebelum tamatnya Ramadhan,
ia bertepatan dengan hadith Nabi Saw dari Ibn Abbas r.a yang menyebut :-
كان النبي صلى الله عليه وسلم
أجود الناس بالخير , وكان أجود ما يكون في رمضان , حين يلقاه جبريل , وكان يلقاه
كل ليلة في رمضان حتى ينسلخ , يعرض عليه النبي القران , فإذا لقيه جبريل كان أجود
بالخير من الريح المرسلة
Ertinya :
“Adalah Nabi SAW adalah manusia yang paling bagus dan pemurah dengan segala
jenis kebaikan, dan Nabi paling pemurah adalah di bulan Ramadhan, dimana ketika
bertemu JIbrail yang datang di setiap hari di bulan ramadhan membentangkan
(menyemak) al-Quran dari Nabi SAW, apabila ditemui Jibrail maka Nabi akan
menjadi paling pemurah dengan kebaikan lebih dari angina yang bertiup” (Riwayat
Al-Bukhari)
Justeru,
sekiranya ia dapat diberikan dalam bulan Ramdhan sebagai sedeqah sudah tentu,
keberkatan pahalanya berlipat kali ganda berbanding memberikannya di bulan
syawal, cuma oleh kerana di bulan syawal sahaja kita dapat berkumpul
sekeluarga, maka mungkin kerana itulah akhirnya duit sedeqah di akhir Ramadhan
itu menjadi ‘duit raya di hari raya’
Bagaimanapun,
ia boleh menjadi amat dan sewajarnya di jauhi
apabila seseorang ingin menunjuk-nunjuk kekayaannya dengan menayangkan jumlah
yang diberinya dan ada pula yang terpaksa berhutang demi memberikan ‘duit
raya’. Ini tidaklah di galakkan sama sekali.
Apa yang
perlu diperhatikan di hari raya ini juga adalah ‘duit raya rasuah’ yang mungkin diberikan oleh ahli perniagaan
kepada pegawai tertentu bagi mempengaruhi keputusan pegawai itu di kemudian
hari. Ia adalah tidak dibenarkan sama sekali di dalam Islam.
Satu lagi
yang sangat perlu diambil perhatian adalah, Haram hukumnya memberikan duit raya menggunakan ‘sampul duit’ dari
mana-mana bank konvensional. Ini kerana ia di anggap mempromosikan
perbankan Riba. Ia jelas termasuk dalam larangan Nabi SAW. Jika ia berlaku,
bermakna sedeqah duit raya itu pastinya tergugat pahalanya. Ia sama seperti
memberi duit raya menggunakan sampul duit yang tertulis jenama arak.
Isu
Bermaafan di Hari Raya
Amalan maaf
bermaafan juga adalah bersifat ‘neutral’ dan boleh diteruskan di hari raya ini
asalkan ungkapan kemaafan yang dipinta dan yang diberi adalah beserta
penyesalan yang benar atas segala kesilapan yang dilakukan. Ia selaras
dengan objektif Ramadhan bagi mencapai keampunan Allah SWT sebagaimana di
fahami dari Hadith :
أن جبريل دعا على من أدرك رمضان فلم يغفر له , وأمّن عليه رسول
الله صلى الله عليه وسلم
Ertinya :
“Sesungguhnya Jibrail mendoakan keburukan ke atas orang yang bertemu Ramdhan
tetapi tidak di ampunkan dosanya, dan di ‘amin’ oleh Rasulullah SAW” ( Riwayat AL-Hakim,
sohih sanadnya dan disepakati oleh Az-Zahabi, 4/154 ; berkata Al-Haithami ;
Perawinya thiqah )
Bagi
seseorang yang berdosa dengan Allah SWT, di harapkan keampunan diperolehinya di
bulan Ramadhan ini, bagaimanapun, dosa seseorang dengan orang lian , hanya
mampu di ampunkan oleh orang yang dizaliminya. Maka objektif keampunan Allah
tidak akan tercapai jika tidak ada proses maaf bermaafan di hujung ramadhan
atau di awal Syawal, mengambil peluang cuti dan bertemu di hari raya sebagai
waktu yang sesuai untuk meminta ampun. Oleh kerana itu, saya secara peribadi
tidak nampak sebarang masalah dalam amalan ini selagi mana ia dilaksanakan
dengan ilmu dan ikhlas. Wallahu ‘alam.
Sekian
Ps :
Diharapkan dijadikan panduan utk kita menyambut aidilfitri dengan lebih baik
drpd yang sebelumnya ….