ANGAN-ANGAN MAT JENIN


Menurut Aziz Desa tentang
semangat Mat Jeninnya pada 1 forum di UM pada 26 Februari 2000 sebagai “Tidak
ada salahnya saya bersemangat Mat Jenin. Bahkan saya yakin ramai di Malaysia
ini yang ada semangat Mat Jenin dalam diri mereka. Cuma mereka mungkin malu
untuk mengungkapkan atau tidak sedar kehadiran semangat itu dalam diri
masing-masing.”

 

Seterusnya Aziz berkata,
“Tanyalah kepada Tan Sri Tajuddin Ramli, Tan Sri Nasamuddin, Tan Sri Samsuddin
Abdul Kadir, Tan Sri Azman Hashim, Tan Sri Syed Mokhtar dan ramai lagi usahawan
Melayu tersohor di negara ini, apakah mereka pernah berangan-angan sebelum
mencapai kejayaan atau mahu menghasilkan sesuatu yang cemerlang.

 

Bahkan, saya tidak ragu-ragu
untuk menyatakan, Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, adalah
antara orang yang ada angan-angan untuk melihat bangsa, agama dan tanah airnya
berada pada 1 tahap yang cukup hebat.”

 

Kata Aziz lagi, “Saya sendiri
berjaya menjadi antara perantara popular tv suatu ketika dulu hingga dikagumi
kerana mencipta angan-angan untuk menyaingi populariti yang ada pada pengacara
Mahadzir Lokman dan Ahmad Tarmimi Serigar. Angan-angan saya tidak kosong, iaitu
berwawasan, ada usaha dan didukung rasa kasih serta tunduk kepada kekuasaan
ALLAH S.W.T. Alhamdulillah, saya berjaya!”.

 

“Sebenarnya angan-angan yang ada
dalam diri saya dan tokoh-tokoh yang saya sebutkan tadi adalah sama seperti
angan-angan Mat Jenin yang acap kali dipandang serong oleh segelintir
masyarakat kita. Hinakah Mat Jenin yang memasang angan-angan untuk menjual
kelapa dan kemudian mahu berurus niaga agar dapat membeli ayam, itik, kambing,
kerbau, gajah dan kemudian mahu memiliki puteri raja? Mat Jenin tidak mencuri,
tidak menipu dan merasuah bagi mencapai matlamat atau angan-angannya. Dia melakukan
pekerjaan mulia dengan memanjat pokok kelapa. Daripada angan-angan beliau yang
umum ketahui, adalah jelas Mat Jenin tahu matematik, faham strategi dan akur
kepada peribahasa ‘sehari selembar benang lama-lama jadi kain’. Betapa mulia
dan hebat angan-angan Mat Jenin. Kalau dia mati, mana mungkin kita tahu perihal
angan-angannya? Sebenarnya yang mematikan Mat Jenin adalah penjajah dan orang
yang keberatan untuk menerima hakikat bahawa semangat Mat Jenin itu ada dalam
setiap diri manusia khususnya bangsa Melayu.”

 

“Mat Jenin adalah symbol kekuatan
semangat orang Melayu. Angan-angannya adalah lambang pemikiran kreatif,
inovatif lagi futuristic.”

 

“Sudah sampai masanya, tanpa ragu
dan segan, kita canang dan nobatkan kemuliaan semangat Mat Jenin itu adalah
kita, adalah Melayu yang pada setiap detik dan ketika mahu mencipta angan-angan
dan merealisasikan menerusi usaha yang bersungguh-sungguh serta ditokok pula
penyerahan diri kepada yang MAHA ESA.”

Leave a Reply